Sistem Pendidikan Islam Bersepadu yang di amalkan di sekolah ini berfungsi memberikan ilmu-ilmu agama bagi memperkasakan iman dan taqwa sebagai asas utama yang ingin diterapkan dalam jiwa anak-anak ini. Dalam melahirkan generasi yang seimbang dunia dan akhirat, pendidikan yang berasaskan agama dan dilengkapi dengan sistem pendidikan di sekolah biasa diamalkan di sini. Anak-anak ini diberikan pendidikan yang sama seperti di sekolah biasa. Bagi sekolah rendah, sukatan KBSR Kementerian Pendidikan diikuti sepenuhnya dan peperiksaan UPSR, UPSRA dan UPKK disediakan oleh sekolah untuk anak-anak ini. Bagi sekolah menengah pula, sukatan pelajaran KBSM untuk pelajar menengah daripada tingkatan 1 hingga tingkatan 5 diajar dan pelajar akan mengambil peperiksaan PMR dan SPM. Bentuk falsafah pendidikan yang diterapkan adalah “Proses pendidikan yang berteraskan tauhid bagi membina dan melahirkan insani rabbani, berilmu, beriman dan berakhlak mulia serta berkemampuan membantu kehidupan diri, masyarakat, negara dan dunia sebagaimana yang dituntut oleh Al-Quran dan As-Sunnah melalui sistem pendidikan yang seimbang, bersepadu, menyeluruh dan berterusan”.
“Ke arah Pembentukan Generasi Al-Quran”. Kelayakan masuk adalah warganegara Malaysia yang belum berkahwin, antara 13 hingga 17 tahun bagi sekolah menengah, berumur antara 7 hingga 12 tahun bagi sekolah rendah, lulus temuduga pengambilan pelajar meliputi Ujian syafawin kekuatan hafazan al-Quran, Ujian Tahriri Tajwid, Ujian Bahasa Inggeris, Ujian sikap dan akhlak serta tidak mempunyai sikap buruk dari sekolah terdahulu. Ciri-ciri sekolah adalah asrama penuh, suasana bilik darjah kuliah, solat berjemaah lima waktu sehari semalam di surau, 28 hari di sekolah, 2 hari bersama keluarga setiap bulan, pengajaran satu sesi (8 pagi hingga 5 petang) dan tenaga pengajar yang dedikasi dan kreatif. Objektif sekolah adalah ke arah melahirkan pelajar yang soleh dan pintar, berilmu, beriman dan beramal, berketerampilan dari segi sahsiah, berkemahiran dalam bidang IT, cemerlang dalam akademik, fasih bahasa asing, kreatif dan berdikari serta berjiwa al-Quran. Kemudahan dan perkhidmatan sekolah terbahagi kepada pusat pendidikan dan aktiviti, saraan dan pengangkutan. Pusat pendidikan dan aktiviti merujuk kepada sebuah surau untuk tujuan aktiviti-aktiviti
dakwah dan tarbiah serta pembangunan modal insan, dua ruangan pejabat dan sebuah bilik guru, 11 buah kelas untuk sesi pembelajaran, 7 buah kemudahan tandas untuk para pelajar, satu dewan makan bagi pelajar lelaki dan satu tempat makan bagi pelajar perempuan serta satu dapur. Saraan merujuk kepada makan minum 2 kali sehari, pakaian rasmi sekolah dan yuran pengajian dan yuran lain-lain yang berkaitan. Pengangkutan merujuk kepada sebuah van Nissan Urvan bagi memudahkan pelajar-pelajar berulang alik ke sekolah dari asrama dan juga mengikuti aktiviti-aktiviti di luar dan masih memerlukan pengangkutan seperti bas atau van bagi menampung bilangan pelajar yang ramai mengikuti pelbagai program dan aktiviti. Sekolah Bersepadu ATAH bertempat di No. 2, Jalan Gurney 2, 54000 Kuala Lumpur (Pra sekolah) dan No. 19 Jalan Gurney 3, 54000 Kuala Lumpur (Sekolah rendah dan sekolah menengah). Bangunan ini di sewa dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Pada asalnya struktur bangunan ini adalah sebuah rumah banglo dan di ubahsuai menjadi kompleks penempatan sekolah. Pihak sekolah telah mengubah suai dan membina beberapa tempat yang menjadi kemudahan di sekolah iaitu kelas tambahan, surau, dapur, dewan makan, tandas, bilik air, stor serta polisi bangunan ini pada dasarnya menempatkan sistem pendidikan khusus kepada anak-anak yatim dan golongan asnaf serta pelajar-pelajar sekitarnya amnya.
No comments:
Post a Comment